FATEN Hadni meninggalkan Kompleks Mahkamah Shah Alam selepas menghadiri inkues Muhammad Adib, semalam.
Nor Azura Abdul Jalil


KEPUTUSAN untuk memanggil semula dua saksi pakar berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim pada Disember tahun lalu diputuskan hari ini oleh Mahkamah Koroner.

Koroner Rofiah Mohamad, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin dan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor.

Permohonan untuk memanggil semula dua saksi itu dibuat Faten Hadni pada Jumaat lalu, bagaimanapun dibantah Syazlin.

Dua saksi pakar dicadang dipanggil semula ialah saksi ke-24, Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan saksi ke-27, Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood.

Terdahulu pada prosiding semalam, Faten Hadni berhujah asas permohonan memanggil semula Dr Hafizam dan Dr Ahmad Shah itu dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah.

Hujahnya, wujud pertikaian berhubung mekanisme kematian dan mekanisme kecederaan Muhammad Adib.

Hujah Faten Hadni pada 11 April lalu pakar melihat semula van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) buat kali kedua dan diminta membuat eksperimen terhadap kenderaan itu.

“Kehadiran semula Dr Ahmad Hafizam ke mahkamah adalah untuk membentangkan semula eksperimen yang dibentangkan kepada mahkamah berhubung dapatan mereka.

“Permohonan ini tiada kepentingan dengan mana-mana pihak dan kami sebagai pegawai pengendali hanya mengendalikan inkues,” katanya.

Sementara itu Syazlin dalam hujahan balasnya berkata, pihaknya membantah permohonan berkenaan kerana percaya saksi itu mengulang keterangan yang sama sambil mempertahankan teori mengenai kematian anggota bomba itu.

“Sekiranya dipanggil semula, hanya membuang masa mahkamah, malah melihat inkues ini nanti tiada penghujung,” katanya.

Hujah Syazlin, sepatutnya eksperimen baharu mahu dikemukakan saksi ke-24 di mahkamah harus dibuat sebelum memberi keterangan bukannya selepas memberi keterangan.

Katanya, saksi ke-24 dan 27 mempunyai akses secara langsung dalam pemeriksaan klinikal serta bedah siasat.

“Sekiranya uji kaji dijalankan selepas keterangan diberikan, jelas mempertikaikan keterangan saksi ke-29 (Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

“Semua saksi pakar diberi peluang secara adil dan sama rata untuk memberi keterangan mereka, ini mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 5:30 AM