Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BEKAS peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah berjumlah hampir RM199,000 pada September 2010.

Tertuduh R Ledchumiah, 62, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah kepadanya di depan Hakim, G Ramesh.

Mengikut kertas pertuduhan, Ledchumiah yang ketika itu peguambela dan peguamcara didakwa tidak membayar RM198,592.50 kepada anak guamnya, Maimumah Lanjung, 63, yang diamanahkan dengan penguatkuasaan ke atas wang pampasan.

Wang itu dibayar Kementerian Kewangan Malaysia yang sepatutnya dipindahkan kepada Maimunah sebagai pembayaran wang pampasan di bawah penghakiman Mahkamah Sesyen Seremban dengan nombor saman 53-166-200.

Tertuduh diwakili peguam, N Maniam didakwa pecah amanah dan menggunakan wang bagi kegunaan sendiri di Firma Guaman Tetuan Ramamoorthy Ledchumiah & Co, Seremban, pada 3 September 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Ramesh kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mei ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada Ahad minggu pertama setiap bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Akmal Mohd Azri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 11:30 AM