Remaja dan wanita yang ditahan semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan remaja lelaki berusia 15 tahun kerana disyaki membawa barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran pihak berkuasa semalam.

Remaja lelaki itu yang menggunakan bot jenis gentian kaca ditahan anggota bot peronda Maritim Malaysia selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kawasan perairan Sungai Melayu, Pulau Sebatik, Tawau 9.30 pagi.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, pemeriksaan mendapati remaja itu turut membawa penumpang wanita 37 tahun dengan masing-masing tiada dokumen pengenalan diri sah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui barang kawalan dipercayai cuba diseludup keluar untuk dijual dan dipasarkan di negara jiran.

“Antara barang kawalan yang ditemui dalam bot berkenaan ialah gula pasir 264 kilogram (kg), minyak masak (120 kg), tepung gandum (84 kg) dan dua unit tong Gas Petroleum Cecair (LPG) tanpa sebarang permit sah,” katanya hari ini.

Mohd Yusri berkata, nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot gentian kaca dan enjin sangkut jenis Yamaha 60 kuasa kuda (hp) dianggarkan RM26,000.

Katanya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk tindakan lanjut masing-masing mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:33 PM