DR MARCUS ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pertuduhan membabitkan dana SRC International. FOTO Asyraf Hamzah
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


PERTUBUHAN Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), hari ini, memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, pihaknya mengakui menerima cek bernilai RM1 juta daripada Datuk Seri Najib Razak, pada Februari 2015.

Bendahari Agung UPKO, Datuk Dr Marcus Mojigoh berkata, cek berkenaan bagi menjalankan program parti itu, termasuk pelbagai program kemasyarakatan di Sabah.

Saksi pendakwaan ke-15 yang juga Ketua Bahagian UPKO Bahagian Putatan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam prosiding kes Najib yang menghadapi tujuh tuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International).

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Dalam 2015. Kamu ingat ada tak terima bantuan daripada mana-mana pihak?

SAKSI: Pada ketika itu, kita adakan mesyuarat BN (Barisan Nasional). Antara agenda dianggap bantu rakyat adalah penyelesaian. Pada masa itu, kita tak ada kewangan... jadi kami beritahu kepada Datuk Seri Najib, UPKO tak ada cukup wang untuk membantu rakyat... melawat pesakit terlantar dan kerusi roda untuk OKU (orang kurang upaya).

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Tadi, kamu ada beritahu Pengerusi BN. Siapa dia?

SAKSI: Datuk Seri Najib... ‘bossku’.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Bantuan ini daripada Datuk Seri Najib? (Saksi kemudian ditunjukkan kepada satu cek)

SAKSI: RM1 juta. (Cek) bertarikh 13 Februari 2015.

Saksi sama berkata, cek bernilai RM1 juta itu kemudian diserahkan kepada pegawainya yang kemudian memasukkan cek berkenaan ke dalam akaun bank.

Beliau berkata, cek itu kemudian dibahagikan kepada bahagian UPKO untuk menjalankan program-program yang sudah dirancang.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah yang mewakili Najib, Marcus berkata, pemberian sumbangan itu diberikan tanpa syarat.

“Dia tak bagi apa-apa syarat. Tapi kita senaraikan apa yang kita buat,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:40 PM