SEBAHAGIAN daripada 54 pelajar yang ditangkap ponteng sekolah di sekitar mukim Bukit Tunggal, Seberang Takir dan Wakaf Tembesu diberikan kaunseling, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
SEBAHAGIAN daripada 54 pelajar yang ditangkap ponteng sekolah di sekitar mukim Bukit Tunggal, Seberang Takir dan Wakaf Tembesu diberikan kaunseling, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


TIDAK suka makan di kantin sekolah menjadi alasan utama 54 pelajar dari empat sekolah menengah di Kuala Nerus ponteng dan makan di luar.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, SMK Bukit Tunggal, SMK Kompleks Seberang Takir dan Kolej Vokasional Wakaf Tembesu itu ditangkap ketika melepak di kedai makan dalam operasi selama sejam bermula 9 pagi hari ini.

Naib Presiden 1 Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kuala Nerus, Md Azmi A Aziz berkata, operasi khas mencegah kegiatan ponteng sekolah itu dijalankan PEMADAM bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Nerus.

“Operasi itu dijalankan di kawasan Bukit Tunggal, Wakaf Tembesu dan Seberang Takir.

“Kami tidak menjangka terlalu ramai pelajar ponteng dengan kebanyakan mereka adalah pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu iaitu seramai 24 orang.

“Hasil siasatan dan kaunseling dijalankan, pelajar terbabit memberi alasan berada di luar sekolah untuk bersarapan,” katanya ketika ditemui di Pusat Komuniti Sa’adah di Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Md Azmi berkata, ia operasi kedua dijalankan selepas kali pertama diadakan pada Februari lalu.

Beliau berkata, pada operasi pertama, pihaknya menahan tujuh pelajar dengan tiga daripadanya positif dadah, namun kali ini, lebih banyak tangkapan dibuat dan tiada yang positif dadah.

“Operasi ini diharap dapat mencegah dan membendung gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

“Kami memandang serius isu ponteng sekolah kerana hasil kajian mendapati kes penyalahgunaan dadah bermula daripada gejala ini.

“Ketika operasi dijalankan, ramai pelajar ditangkap sedang merokok secara bebas di kedai makan,” katanya.

Semua pelajar yang ditangkap dibawa ke Pusat Komuniti Sa’adah dan diberikan kaunseling membabitkan pensyarah dari Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainai Abidin (UniSZA).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:50 PM