Muhaamad Hafis Nawawi dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“ALHAMDULILLAH saya tak mahu komen, sebab saya puasa... saya orang Islam dan saya ikut keputusan,” itu kata Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebaik dilepaskan tanpa dibebaskan atas pertuduhan mencabul remaja perempuan bawah umur pada Oktober tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu secara tertutup selepas berpuas hati sebaik mendengar keterangan tiga saksi termasuk mangsa.

Saksi pertama, Inspektor Norzuki Hussain tampil memberi keterangan diikuti Inspektor Nor Fattah Abdullah sebelum mangsa kemudian memberi keterangan secara tertutup.

Shahidan dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh bahu hingga tangan remaja perempuan bawah umur dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pada 11.30 malam di perkarangan Stadium Syed Putra, Kangar, 20 Oktober tahun lalu.

Shahidan dituduh mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Shahidan diwakili peguam bela Zamri Ibrahim yang dibantu Zuhair Ahma Zakwan, Thalia Rohana Abdul Latiff dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail.

Sementara itu, Zamri berkata, pihak pengadu memutuskan untuk menarik balik aduan berkenaan dan berterima kasih kepada pihak pendakwa kerana menarik balik aduan.

Menurutnya, sepatutnya ada enam saksi lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan, namun kes ini dianggap selesai selepas pengadu membuat keputusan untuk tidak meneruskan kes walaupun keterangan lima saksi termasuk dirinya diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 2:18 PM
AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim diiringi peguamnya Syed Muhammad Anwar Syed Lokhman Hakim (tiga kanan) keluar dari perkarangan Mahkamah Sesyen Kangar selepas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan bawah umur pada 20 Oktober 2018 lalu digugurkan. FOTO Shahrizal Md Noor