ZUL Aznam (kiri) keluar dari bilik prosiding selepas memberi keterangan ketika sesi pendengaran awam RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Hairulazim Mahmud


“SAYA hanya bercakap sekali dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) pada 20 Januari 2015 dan beliau menyatakan ‘hold on’ selepas saya memaklumkan mengenai penemuan kem dan kubur,” kata bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Zul Aznam Haron.

Beliau yang juga saksi ke-16 prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, berkata kerana itu sejak penemuan sehingga Mac 2015, tiada sebarang tindakan susulan dibuat atau arahan dikeluarkan.

Beliau berkata, apabila Khalid menyebut ‘ hold on’ maka arahan itu difahami sebagai menghentikan sementara segala siasatan berkaitan kes berkenaan.

“Apabila sebut ‘hold on’ ialah henti sementara bukan henti terus daripada semua segi termasuk siasatan atau apa-apa sahaja berkaitan kes berkenaan sehinggalah Mac.

“Saya tidak melakukan apa-apa kerana saya anggap apabila bercakap dengan Ketua Polis Negara maksudnya kes sudah diambil alih oleh Bukit Aman,” katanya pada hari kelima prosiding berkenaan di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Zul Aznam menasihatkan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail supaya memahami tugas polis dan membiarkan pihak berkuasa itu melaksanakan tugas mereka secara profesional.

Beliau berkata demikian selepas Razali mempertikaikan kaedah tindakan taktikal polis dengan menghantar pasukan Komando VAT69.

“Saya menghormati Tan Sri, tapi Tan Sri tak faham tugas polis.

“VAT69 masuk secara menyusup bukan operasi besar-besaran boleh dilihat dan tugas mereka bukan untuk menangkap tetapi sediakan maklumat untuk pasukan selanjutnya masuk,” katanya.

Sesi pendengaran awam RCI memasuki hari kelima hari ini.

Panel RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri yang diubah suai menjadi mahkamah.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 7:05 PM