Skip this ad x
RUKIZA (dua dari kiri) menziarahi adik Muhammad Rezfan Shauqi yang mengalami masalah tiada lubang dubur serta penyakit kronik lain di Kampung Pulau Mas, semalam.
Zuliaty Zulkiffli


“WANG sumbangan pembaca Harian Metro yang diterima kini mencecah lebih RM8,000.

“Ia cukup untuk menampung perbelanjaan membeli susu formula khas dan lampin pakai buang untuk anak kami,” kata Zuraidah Azlinda Mehat, 35.

Zuraidah berkata, anak bongsunya, Muhammad Rezfan Shauqi Mohd Fazli yang mempunyai masalah tidak mempunyai lubang dubur sejak lahir selain sindrom Down, jantung di bahagian kanan yang agak besar, tiroid dan gastrik, kini semakin sihat.

Namun, anaknya itu menemui pakar paru-paru untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pada 30 April ini.

“Anak saya ada masalah paru-paru sejak lahir dan doktor membuat janji temu di HSB minggu depan untuk membantu mengenal pasti tahap kesihatannya.

“Sepatutnya rawatan itu dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) namun doktor pakar dari sana akan datang ke HSB untuk menjalankan pemeriksaan terhadap anak saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zuraidah yang juga guru agama KAFA berkata, walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM350, ia tidak mencukupi untuk menampung kos ulang-alik ke hospital, membeli lampin pakai buang serta membeli susu untuk anaknya itu.

Anaknya itu langsung tidak boleh menjamah makanan dan hanya bergantung kepada susu formula khas untuk menambah tenaga namun kosnya agak mahal.

“Satu tin susu pun berharga RM60 dan hanya bertahan tiga atau empat hari manakala lampin pakai buang pula kerap digunakan termasuk untuk menutup saluran najis yang ditebuk di bahagian perut untuk mengelakkan jangkitan kuman,” katanya.

Zuraidah berkata, setiap kali dia keluar bekerja, suaminya, Mohd Fazli Mohd Radzuan, 35, menjaga Muhammad Rezfan dan seorang lagi anak mereka berusia tiga tahun di rumah mereka di Kampung Pulau Mas manakala dua lagi anak masih bersekolah.

Harian Metro pada 12 April lalu melaporkan bayi berusia 12 bulan ini dilahirkan dengan pelbagai penyakit selain penglihatannya kabur sehingga memaksanya memakai cermin mata berkuasa 700.

Sementara itu, nasib yang menimpa bayi itu turut mendapat simpati daripada Sahabat Charity Balqish yang diwakili Rukiza Abu Bakar serta Ahli Jawatankuasa Komuniti Amal Jerai, Nor Azah Zainol.

Mereka mengunjungi keluarga bayi berkenaan, sekali gus menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada Zuraidah.

Menurut Rukiza, pihaknya akan berusaha mendapatkan tajaan keperluan lampin pakai buang untuk meringankan beban keluarga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:31 AM