KUNHYMAH (kiri) bersama Aisyah (dua dari kiri) menerima kunjungan Mohd Nasir di Taman Sri Pulai, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


PENGORBANAN seorang ibu tunggal tidak ternilai kerana selain menjaga anak sulung yang terlantar sejak lebih 30 tahun lalu, dia turut memberi perlindungan kepada anak jirannya yang kini menjalani rawatan di hospital sejak lebih sebulan lalu.

Wanita berkenaan, Kunhymah Imuthi, 58, tinggal di Jalan Meranti 10, Taman Sri Pulai, Johor Bahru, berkata dia dan keluarga memberi perlindungan kepada anak jiran, Aisyah Zainal Abidin, 13, yang juga rakan sekolah kepada salah seorang cucu perempuannya tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

Menurutnya, sebagai wanita dia faham naluri ibu Aisyah yang bimbangkan keselamatan anaknya apabila terpaksa tinggal seorang diri di rumah.

Katanya, ibu Aisyah, Fatimah Abd Wahab, 54, dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak lebih sebulan lalu selepas buah pinggangnya disahkan tidak boleh berfungsi dengan baik selain menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.

“Disebabkan ibunya masih di hospital, Aisyah tinggal berseorangan dan kami simpati dengan keadaannya itu.

“Jadi, demi keselamatan remaja berkenaan kami menawarkan perlindungan dan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran ibunya.

“Sekurang-kurangnya perlindungan diberikan keluarga kami mampu mengubati rasa rindunya terhadap ibu serta mampu meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Malah, Aisyah menerima ihsan daripada jemaah surau berhampiran selain pengusaha bas sekolah bagi menampung perbelanjaannya,” katanya.

Kunhymah berkata, dia menguruskan makan minum Aisyah biarpun sibuk menjaga anak sulungnya, Rozita Mohd Rashid, 41, yang terlantar sejak kecil.

Katanya, suaminya meninggal dunia Februari lalu manakala anaknya sudah dewasa dan mereka faham apabila dia menyatakan hasrat untuk menjaga Aisyah.

“Saya bersyukur kerana anak menghulurkan bantuan bagi menampung keperluan harian kami.

“Saya memiliki lima anak dan tiga daripadanya sudah berumah tangga,” katanya.

Kunhymah berkata, anak Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka menggunakannya bagi menampung sebahagian kos pembelian lampin pakai buang.

“Kami bukan orang senang tetapi bersyukur kerana masih mampu membantu Aisyah.

“Difahamkan ibu Aisyah sudah berpisah dengan suaminya sejak 11 tahun lalu namun kami tidak tahu maklumat lanjut mengenainya,” katanya.

Mereka menerima kunjungan wakil jejak asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Nasir Ishak, hari ini.

Nasir berkata, pihaknya turut melawat Fatimah di HSA dan menawarkan sumbangan sesuai.

“Kami kagum dengan jiran Fatimah yang sanggup menjaga Aisyah tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Kami akan berusaha bagi meringankan beban keluarga berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:28 PM