Nor Akmar Samudin


PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2019 yang kini sudah masuk tahun ke-12 mendapat kerjasama daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk membantu segelintir masyarakat yang masih hidup dalam serba kekurangan supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih ceria.

Menerusi kerjasama itu, PLUS menyumbang RM440,000 untuk dilaksanakan di dua lokasi terpilih iaitu di Kampung Balun, Slim River, Perak dan Kampung Ulu Tawar, Balun, Karangan, Baling.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, dari jumlah sumbangan itu, RM140,000 diperuntukkan untuk pelbagai pengisian program yang sudah dirancang termasuk majlis berbuka dan RM300,000 agihan zakat kepada golongan asnaf di kedua-dua kampung berkenaan.

Program TKHM di Kampung Balun akan diadakan pada 11 Mei ini dan di Kampung Ulu Tawar pada 25 Mei.

“Sebelum ini PLUS sering bekerjasama dengan HM dalam pelbagai program anjuran akhbar ini tetapi ini kali pertama kami menjadi penaja utama untuk TKHM.

“PLUS aktif dalam melakukan tanggungjawab sosial (CSR) dan sempena Ramadan ini kami mahu mendekati dengan lebih rapat lagi masyarakat yang memerlukan pertolongan dengan fokus kepada golongan B40.

“Kami mahu sumbangan itu sampai terus kepada golongan sasaran. Kami serahkan pemilihan kampung itu kepada HM untuk mengenal pasti kawasan perkampungan dan masyarakat yang memerlukan,” katanya.

AZMAN (empat kanan) menyerahkan penajaan kepada Tuan Mohamad Asri (empat kiri) pada majlis serah penajaan TKHM Ramadan 2019 di Balai Berita Bangsar. FOTO Owee Ah Chun
AZMAN (empat kanan) menyerahkan penajaan kepada Tuan Mohamad Asri (empat kiri) pada majlis serah penajaan TKHM Ramadan 2019 di Balai Berita Bangsar. FOTO Owee Ah Chun

Selain itu, kedua-dua kampung terbabit juga berada dalam lingkungan jajaran PLUS iaitu jarak 30 kilometer.

Azman berkata, masih terdapat perkampungan yang daif dan hanya boleh masuk dengan bermotosikal saja.

“Ada lagi masyarakat di negara ini sangat memerlukan pertolongan,” katanya pada pertemuan dengan HM di Balai Berita, Bangsar hari ini.

Hadir sama Pengarang Kumpulan HM, Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein dan Pengarang Eksekutif, Komersial HM merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit.

Sementara itu, Tuan Asri berkata, Harian Metro mengucapkan terima kasih kepada PLUS atas kesudian menjadi penaja utama TKHM 2019.

“Ini kali pertama PLUS menjadi penaja utama TKHM, semoga ia terus berpanjangan,” katanya.

TKHM dimulakan pada 2007 di Terengganu dan sejak itu ia menjadi acara tahun HM setiap kali Ramadan.

Program TKHM dikendalikan kakitangan HM dengan kerjasama sukarelawan daripada Briged Sukarelawan NSTP-Media Prima.

Antara aktiviti yang diatur seperti melawat keluarga yang kurang bernasib baik, bergotong-royong, membawa anak yatim membeli baju raya di pasar raya, memberi sumbangan kepada ibu tunggal dan keluarga miskin.

Program sehari itu berakhir dengan tazkirah, berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah dengan masyarakat setempat di surau kampung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 9:27 PM