Nizammuddin menghadiahkan naskhah al-Quran tulisan tangannya sendiri di majlis pernikahan mereka pada 12 April lalu.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG lelaki menghadiahkan kepada isterinya senaskhah al-Quran khas yang ditulis tangannya sendiri ketika mereka diijabkabulkan pada 12 April lalu.

Nizammuddin Rahim, 23, memberi hantaran al-Quran yang ditulisnya selama tiga tahun kepada isterinya, Nurul Aida R. Azli, 22.

Nizammuddin berkata, dia menghadiahkan al-Quran kepada isterinya itu selepas dicadangkan oleh ayah, Rahim Ahmad, 58, dan ibu, Sharinah Man, 49, memandangkan naskhah kitab suci itu disimpan sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, isterinya terkejut dan terharu sebaik dia menyerahkan al-Quran itu kerana mendapat naskhah kitab suci yang ditulis hasil tangan dan amat disayangi suaminya sendiri.

“Saya menulis naskhah al-Quran itu ketika belajar di tingkatan satu di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong di Machang dan ia siap ditulis ketika berada di tingkatan tiga.

“Dalam tempoh itu, saya juga berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mula menyimpan kitab suci itu di rumah keluarga di Simpang Pelangai, Bentong.

“Sebelum saya berkahwin, ayah dan ibu ada memberi cadangan supaya memberi hantaran al-Quran tulisan tangan itu kepada isteri kerana tidak mahu ia disimpan begitu saja.

“Saya terima cadangan itu kerana ia akan mengingatkan saya dan isteri supaya sentiasa dekat dengan al-Quran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Naskhah al-Quran yang ditulis sendiri Nizammuddin ketika belajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong di Machang. Foto Ihsan Raja Nazrin.

Penyerahan hantaran al-Quran tulisan tangan daripada pengantin lelaki kepada isterinya mula tular di Twitter sejak semalam, selepas dimuat naik oleh seorang jurugambar, Raja Nazrin.

Mengulas lanjut, Nizammuddin yang juga graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, al-Quran itu berjaya ditulis kerana ketika belajar di tahfiz itu dia perlu menulis setiap hafalan sebelum membacanya di hadapan ustaz.

“Berkat dari situ, saya dapat menulis senaskhah al-Quran dan dijaga dengan baik memandangkan pengorbanan untuk menghasilkan kitab suci itu disamping mengenang kembali tempat saya belajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 5:14 PM