Lizam Ridzuan


FESTIVAL Toyota Gazoo Racing (TGR) pusingan akhir untuk musim ke-2 berlangsung di Litar Antarabangsa Antarabangsa Sepang (SIC) dengan acara Toyota Vios Challenge menjadi perhatian utama pengunjung hari ini.

Bermula semalam sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Promotional (selebriti), Sporting dan Super Sporting yang menggunakan separuh kawasan litar iaitu sejauh dua kilometer (km).

Tiga pusingan dijalankan sebelum ini di Terengganu, Serdang dan Pulau Pinang dengan konsep litar di jalanan dan acara di SIC adalah bagi menentukan juara keseluruhan.

Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K berkata, perlumbaan sebegini adalah yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara dengan gaya dimensi baharu serta mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Sebelum ini, ia diadakan di jalanan untuk membuka lebih peluang kepada ramai orang melihat dengan lebih dekat aktiviti dan perlumbaan yang dianjurkan,

“Acara akhir pula dilangsungkan di litar perlumbaan sebenar untuk menguji keupayaan model Vios pada kelajuan tinggi di laluan lurus serta selekoh yang mencabar,” katanya.

Untuk kategori Promotional juara keseluruhan musim ke-2 dimenangi oleh Diana Danielle, tempat kedua Aiman Tino dan ketiga disandang oleh Akim Ahmad.

Antara selebriti lain yang turut serta ialah Janna Nick, Nabil Ahmad, Wani Hasrita, Nabila Razali, Khai Bahar dan Timbalan Presiden UMWT, Akio Takeyama.

Untuk acara Kelas Super Sporting keseluruhan diungguli oleh Boy Wong daripada pasukan ST Wangan Racing Team, kedua disandang oleh William Ho daripada Kegani Racing dan ketiga oleh Brendan Paul Anthony daripada pasukan Dream Chaser.

Kategori Kelas Sporting keseluruhan disambar oleh Brendon Lim pasukan Tedco Racing, kedua oleh Eric Yong (ST Wangan Racing Team) dan ketiga, Kenneth Koh (Panglima City Racing Team).

Selain perlumbaan diadakan juga acara sampingan lain seperti sesi autograph superfans, pameran dan pandu uji model-model Toyota, persembahan Toyo Drift 86, penukaran beg udara percuma, perlumbaan kelab kereta dan konsert selebriti TGR.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 9:13 PM
RAVINDRAN (tengah) bergambar bersama pemenang Toyota Vios Challenge.