Tindakan penternak ikan keli dipercayai mengepam air dari kolam ke Sungai Batang Melaka dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar

AIR dari kolam ikan keli yang dilepaskan penternak di Hutan Perca, Alor Gajah ke Sungai Batang Melaka, dikenal pasti punca pencemaran yang menyebabkan bekalan air terputus di Tanjung Bidara, Ayer Hitam Darat dan Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.

Perbuatan itu menyebabkan kandungan ammonia dalam air mentah meningkat, sekali gus menyebabkan air terawat di Loji Air Gadek menurun dan menjejaskan bekalan air mulai tengah hari kelmarin.

Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) melalui kenyataan media hari ini berkata, pihaknya sedang berusaha meningkatkan paras simpanan air terawat dalam pelbagai kolam air perkhidmatannya.

Selain itu, SAMB turut menyediakan perkhidmatan membekalkan air melalui lori tangki ke lokasi terjejas.

Timbalan Pengerusi SAMB, Halim Bachik dilaporkan berkata, berlaku pencemaran dalam sungai itu sejak Khamis lalu yang menyebabkan air yang dirawat berbau busuk.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan punca pencemaran itu.

Bekalan air ke kawasan terbabit terputus sejak tengah hari kelmarin sebelum kembali pulih secara beransur-ansur mulai tengah hari semalam hingga pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:32 PM