Khalid (kanan) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan ketika sidang media di Menara DBKL. Foto Owee Ah Chun
Mohamad Hussin


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah membuat keputusan untuk menempatkan lebih 400 peniaga bazar Ramadan di Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka selepas membuat pemilihan melalui dalam talian.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, pihaknya terpaksa memindahkan tapak bazar Ramadan dari Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Raja bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

“Saya harap tidak timbul lagi isu peniaga bazar Ramadan kerana kita sudah membuat pemilihan pemohon menerusi dalam talian.

“Kita sudah menambah bilangan petak tapak daripada 200 sebelum ini kepada 400 selepas menerima pelbagai aduan peniaga.

“DBKL akan mula membuat penandaan tapak bazar mulai esok memandangkan bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi,” katanya ketika sidang media di Menara DBKL, hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata, DBKL sudah membekukan pengeluaran lesen penjaja gerai tepi jalan bagi membendung kegiatan penjaja jalanan tidak berlesen.

Menurutnya, DBKL hanya mengeluarkan lesen penjaja terhad bermasa kepada penjaja yang layak pada 15 April lalu.

“Kita menerima lebih 500 permohonan dan sehingga kini sebanyak 250 lesen penjaja berjaya diproses serta dikeluarkan kepada yang layak.

“Bancian penjaja gerai tepi jalan (penjaja statik) mendapati sebanyak 12,786 penjaja aktif berniaga dan daripada jumlah itu sebanyak 10,246 penjaja mempunyai lesen, manakala 2,540 penjaja lagi tidak berlesen.

“Tujuan lesen peniaga bermasa ini diwujudkan bagi membolehkan DBKL membuat pemantauan di kawasan setempat. Ia juga untuk memberi peluang kepada program pemutihan lesen penjaja supaya dapat dilaksanakan dengan sistematik dan teratur.

“Lesen penjaja sementara ini dikeluarkan kepada peniaga yang menjual atau mempamerkan sebarang jualan di gerai atau petak yang ditetapkan di suatu jalan bersesuaian tertakluk kepada syarat,” katanya.

Menurutnya, ia selaras dengan Program Sifar Penjaja Tepi Jalan 2020 dan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja yang melanggar peraturan selain mengawal bilangan penjaja di sekitar ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 7:09 PM