Rosli (dua dari kanan) bersama pegawainya melihat silinder berisi cecair gas bersubsidi dipindahkan secara haram di sebuah gudang di Batu 15, Jalan Klang-Banting dekat Banting. Foto Roslin Mat Tahir
Ruwaida Md Zain

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan satu sindiket pemindahan gas bersubsidi secara haram menggunakan ketulan ais di Batu 15, Jalan Klang-Banting dekat Banting, semalam.

Serbuan di sebuah gudang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota KPDNHEP Putrajaya kira-kira 5.30 petang.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas KPDNHEP Rosli Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ketulan ais itu digunakan bagi proses mencair dan pemejalwapan gas ketika pemindahan itu dijalankan.

“Sindiket itu dipercayai mampu memenuhkan sebanyak 60 tong gas industri berkapasiti 50 kilogram (kg) daripada tong gas bersubsidi 14 kg dalam tempoh empat jam.

“Harga asal bagi tong gas industri bernilai RM400 di pasaran tetapi sindiket menjualnya serendah RM300 satu tong.

“Ia dijual bagi pasaran industri sekitar Banting dan Klang,” katanya ketika sidang media Operasi Khas Penyewelengan Barang Kawalan Bersubsidi Silinder Gas Petroleum Cecair di lokasi itu, petang tadi.

Menurut beliau, siasatan pihaknya turut mendapati sindiket yang didalangi warga tempatan itu menyewa gudang berkenaan sejak bulan lalu.

“Ketika serbuan, dua pekerja lelaki warga Myanmar berusia 30-an sedang menjalankan proses pemindahan gas di premis itu.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 221 tong gas berkapasiti 14 kg dan 30 tong masing-masing bagi 15 kg dan 50 kg yang dianggarkan bernilai RM55, 818,” katanya.

Menurutnya, dua warga asing yang memiliki dokumen perjalanan sah itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 8:52 PM