Ummi Nasrah bersama pegawai dan anggota memeriksa jam tangan tiruan yang dirampas. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin

WALAUPUN sudah dua kali premis perniagaan diserbu pihak berkuasa kerana menjual barangan tiruan, seorang lelaki didapati masih berdegil menjual jam tangan berjenama tiruan di sebuah premis di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Malah, lelaki berusia 40an terbabit ditahan sekali lagi menerusi hasil serbuan yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), semalam.

Dalam serbuan 2.50 petang itu, KPDNHEP WPKL menahan lelaki terbabit bersama seorang pekerjanya dan merampas 1,317 jam tangan jenama tiruan dianggarkan bernilai RM19,755.

Pengarah KPDNHEP WPKL, Ummi Nasrah Othman berkata, serbuan dilakukan lapan pegawai dan anggota dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang berdaftar bermula jam 2.50 petang.

“Sewaktu serbuan didapati terdapat dua individu membabitkan seorang lelaki disyaki pemilik dan seorang wanita dipercayai pekerja.

“Hasil pemeriksaan terhadap premis kita merampas 1,317 jam tangan berjenama tiruan dan semakan dilakukan mendapati pemilik premis terbabit sudah dua kali di serbu pada Ogos 2016 dan September tahun lalu.

“Dua kes terbabit masih dalam proses mahkamah dan dia didapati mengulangi perbuatan sama dengan menjual jam tangan berjenama tiruan,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP WPKL, hari ini.

Ummi Nasrah berkata, susulan serbuan pihaknya menahan lelaki terbabit bersama pekerjanya, wanita berusia 20an bagi membantu siasatan.

“Dua suspek terbabit direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi siasatan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.

“KPDNHEP menerusi Bahagian Penguatkuasaa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan serta cetak rompak.

“Untuk tahun ini, KPDNHEP sudah berjaya menghasilkan 27 kes membabitkan barangan tiruan dengan nilai rampasan sebanyak RM1,527,215,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 9:04 PM