Kapal nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia kerana mencuri hasil laut negara di perairan Pulau Aur, Mersing. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Nurul Amanina Suhaini

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan 24 nelayan asing dipercayai mencuri sumber perikanan negara di perairan Pulau Aur, Mersing, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, semua warga Vietnam itu menangkap ikan secara haram menggunakan dua bot di kedudukan kira-kira 19 batu nautika tenggara perairan Pulau Aur.

Katanya, semua individu termasuk dua tekong berusia 15 hingga 56 tahun ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Sebuah kapal peronda Maritim Malaysia yang belayar dari Johor Barat mengesan dua Bot Penangkapan Ikan Asing yang mempamerkan Carving Marking (tanda nama) Vietnam.

“Hasil pemeriksaan, tekong kedua-dua bot gagal mengemukakan lesen bot dan terdapat sebilangan kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Rampasan bernilai RM6.4 juta termasuk dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut dan bahan bakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah dari Pengarah Perikanan Malaysia.

Katanya, sabit kesalahan tekong boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak boleh didenda RM 100,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya, selain kedua-dua bot serta peralatannya boleh dilucut hak.

“Maritim Malaysia sentiasa serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan Pencerobohan Vesel Penangkapan Ikan Asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

“Maritim Johor khususnya ZMTS akan menggandakan usaha untuk mencegah berlakunya kejadian rompakan di laut serta sedaya upaya mengekang pencerobohan Vesel Penangkapan Ikan Asing khususnya daripada Vietnam di Perairan Johor Timur hingga menghantui komuniti maritim setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 1:56 PM