Norizuan Shamsuddin


KEASYIKAN pengunjung berhibur sambil dihiasi pertunjukan persis ‘ratu cantik’ oleh wanita warga asing terhenti apabila pihak berkuasa menyerbu dua premis pusat hiburan di Scott Garden, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam serbuan 12.05 tengah malam itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menahan 184 wanita warga asing terdiri daripada warga Thailand, Laos dan Vietnam yang disyaki wanita pelayan pelanggan (GRO) di dua pusat hiburan terbabit.

Penolong Pengarah JIM WPKL, Mohd Sharulnizam Ismail berkata, serbuan dilakukan susulan risikan dan maklumat berhubung kegiatan premis hiburan terbabit yang dikesan menggunakan khidmat wanita warga asing.

“Hasil serbuan kami memeriksa 421 individu dan hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 190 individu termasuk enam lelaki.

“Pecahan tangkapan adalah membabitkan 175 adalah wanita warga Thailand, lima wanita Vietnam dan empat wanita Laos.

“Mereka didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan menjadi GRO di pusat hiburan terbabit.

“Kami turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh disyaki pekerja dan tiga lelaki tempatan, dua daripadanya adalah pengurus pusat hiburan, manakala seorang lagi ditahan kerana mengganggu pihak berkuasa melaksanakan tugas,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Sharulnizam berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 50 tahun terbabit kini di tahan bagi tindakan lanjut.

“Semua warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Peraturan 38(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.

“Manakala pengurus atau majikan akan disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Pada 30 Mac lalui, Harian Metro mendedahkan kegiatan pusat hiburan di lokasi terbabit yang di kesan menyediakan pentas untuk GRO yang terdiri daripada warga asing melakukan ‘catwalk’ untuk tontonan umum sebelum dipilih lelaki hidung belang.

Pelanggan yang berminat dengan ‘model’ di atas pentas itu disyaratkan membeli kalungan bunga berharga RM40 hingga RM3,000 sebelum mendampingi wanita terbabit.

Model yang menerima kalungan bunga berharga RM300 dan ke atas boleh dibawa pulang bergantung kepada persetujuan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 2:03 PM
GRO diperiksa oleh pegawai dan anggota JIM WPKL. FOTO Norizuan Shamsuddin