KEJADIAN lelaki mengancam kontraktor SAINS menggunakan pisau. FOTO Ihsan Pembaca.
Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG kontraktor Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) berdepan detik cemas apabila diacu pisau oleh lelaki dipercayai pemilik sebuah restoran di Seremban, semalam.

Dalam kejadian 7 malam, kontraktor terbabit dikatakan menjalankan operasi pemotongan bekalan air di restoran berkenaan yang mempunyai tunggakan.

Lelaki itu dipercayai tidak berpuas hati lalu mengancam kontraktor berkenaan menggunakan pisau.

Kejadian dirakam oleh individu lain berada berhampiran dan dimuat naik ke Facebook hingga tular di media sosial sejak pagi ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, mangsa sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Menurutnya, pengguna terbabit mempunyai tunggakan bil berjumlah lebih RM2,000 menyebabkan kontraktor melaksanakan kerja pemotongan bekalan air.

“Pengguna itu sedia maklum berkenaan bil yang tertunggak dan pernah diberikan peluang membuat bayaran secara ansuran.

“Berdasarkan penyata akaun pengguna itu juga tidak membuat bayaran secara konsisten hingga bil tertunggak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norzita berkata, setiap bil dihantar kepada pengguna dinyatakan jumlah bil semasa dan bil tertunggak sedia ada untuk dijelaskan segera.

Katanya, SAINS juga sedia memberikan makluman kepada pengguna melalui bil dihantar mengenai tempoh bayaran perlu dijelaskan, sekali gus mengelakkan tindakan memotong bekalan dilakukan.

Rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu menunjukkan seorang lelaki memegang pisau dan memarahi kontraktor SAINS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 3:17 PM