Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA puluh orang sekitar Kangar tampil membuat laporan polis gesa siasatan terperinci dapat dilakukan berkaitan penahanan, Muhammad Zamri Vinod Kalimuthu, protege kepada pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik.

Wakil kumpulan itu, Muhammad Faidhi Azis, 30, berkata, sebanyak 20 laporan dibuat dan meminta agar pihak polis menyiasat dengan teliti kerana seolah-olah ada pihak yang cuba memburukkan nama Islam dan menyemarakkan api perkauman di negara ini.

Menurutnya, pihaknya juga menggesa polis dapat menyiasat pihak yang bertanggungjawab tularkan rakaman ceramah singkat Muhammad Zamri tanpa rakaman penuh sehingga ia menimbulkan fitnah.

“Kita juga meminta agar pihak polis menyiasat berhubung penularan video seorang lelaki di Facebook (FB) yang memfitnah saudara Muhammad Zamri seolah-olah menghina agama lain.

“Jika diamati dalam video ceramah saudara Muhammad Zamri sebelum ini, dia hanya menyatakan pengalamannya sebagai penganut agama Hindu saja dan bukan sebaliknya.

“Kami lihat perkara ini seolah-olah dipolemikkan oleh pihak tertentu dan cuba mewujudkan suasana yang tidak tenteram dalam kalangan umat Islam, malah video ceramah saudara Muhammad Zamri itu pada Disember tahun lalu dan kenapa baru sekarang laporan polis dibuat?,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Zamri yang juga pendakwah bebas dan Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman selama empat hari bermula 28 April lalu bagi membantu siasatan berkaitan kenyataannya dalam satu rakaman ceramah di Kelantan yang dianggap menghina agama lain pada tahun lalu.


Antara wakil masyarakat yang tampil membuat laporan polis gesa siasatan teliti dilakukan berkaitan penahanan Muhammad Zamri di IPD Kangar, hari ini.

Berikutan itu, sebanyak 790 laporan polis dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam terhadap Muhammad Zamri di seluruh negara sehingga dia ditangkap selepas menghadiri satu majlis debat perdana anjuran sebuah NGO di sebuah universiti pada Ahad lalu.

Muhammad Faidhi berkata, pihaknya kesal kerana terdapat pihak yang cuba menyemarakkan hasutan fitnah terhadap rakyat sehingga Muhammad Zamri menjadi mangsa.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana Zamri hanya meluahkan perasaannya saja, saya minta pihak terbabit menghentikan provokasi sebegini sehingga boleh menggugat perpaduan kaum di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohd ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 9:06 PM