ANGGOTA APM merangkak untuk menangkap ular sawa di bawah tangki air. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap terpaksa merangkak di laluan sukar untuk mencari dan menangkap ular sawa batik yang bersembunyi di bawah tangki air di Kilang Gula, Jalan Padang Sanai, Padang Terap, semalam.

Kejadian jam 11.30 pagi itu disedari pekerja, Ku Hasrol Hardi Ku Hashim, 42, selepas melihat ular sawa sepanjang empat meter dan berat lima kilogram di kawasan itu.

Pegawai APM Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan jam 11.43 pagi daripada pemanggil yang menyedari kehadiran ular berkenaan.

Beliau berkata, tiga anggota diketuai Koperal Mohd Rizal Ali tiba di lokasi jam 11.56 pagi.

“Anggota kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mencari dan menangkap ular sawa berkenaan disebabkan laluan di bawah tangki itu agak sukar.

“Reptilia itu bertindak agresif dan cuba menyerang anggota kami namun ia dapat ditangkap akhirnya menggunakan kemahiran yang ada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shukri berkata, reptilia itu berkemungkinan keluar dari kawasan semak berhampiran untuk mencari air dan sumber makanan disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu setakat ini.

Beliau berkata, ular sawa itu kemudian dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 9:07 AM