GAMBAR hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


LELAKI yang mengugut untuk memukul Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook kelmarin ditahan di rumahnya, hari ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek berusia 36 tahun yang juga kerani ditahan di Gelugor, Pulau Pinang, 2 pagi.

“Kita menahannya bagi membantu siasatan berhubung ugutan pukul ke atas Mohd Asri di Facebook, kelmarin.

“Pihak polis akan mendapatkan perintah penahanan reman di mahkamah hari ini dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.

Harian Metro semalam melaporkan Mohd Asri membuat laporan polis berhubung ancaman pukul yang diterimanya di Facebook pada 6 petang kelmarin.

Suspek yang menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ itu mengugut untuk memukul Mohd Asri sehingga parah selain memberikan nombor telefonnya kepada Mohd Asri bagi memudahkan lelaki berkenaan bertemunya.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berita berkaitan

'Sandev Sandev' ugut Mufti Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 10:02 AM