HUSAIN (berdiri tengah) bergambar bersama penduduk kampung selepas mesyuarat TKHM di Surau Tinggi Kampung Balun, Slim River. FOTO Abdullah Yusof.
Mohd Hafizee Mohd Arop


PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) sempena Ramadan untuk tahun ini memilih Kampung Balun, Slim River sebagai destinasi pertama penganjurannya pada minggu pertama puasa iaitu 11 Mei ini.

TKHM dianjurkan Harian Metro untuk kali ke-12 ini mendapat kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) serta sokongan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan Dapur Penyet.

Semalam berlangsung Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan TKHM di lokasi program iaitu di Surau Tinggi Kampung Balun yang dihadiri Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM, Husain Jahit.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri lebih 50 penduduk kampung diketuai Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Balun, Mohd Ashid Ali bagi membincangkan pembahagian tugas pada program berkenaan.

Husain dalam mesyuarat berkenaan berkata, program TKHM itu nanti turut membabitkan pemberian sumbangan barangan keperluan hari raya serta duit raya kepada 50 keluarga fakir miskin serta ibu tunggal dan 200 kanak-kanak kurang berkemampuan termasuk anak yatim dan asnaf.

Menurutnya, TKHM turut akan berkunjung ke 10 rumah golongan kurang berkemampuan di kampung berkenaan bagi menyampaikan sumbangan dan acara kemuncak program adalah berbuka puasa bersama penduduk kampung.

“PLUS akan menghantar sukarelawannya seramai 150 orang dan ditambah dengan 20 sukarelawan dari akhbar ini bagi melancarkan perjalanan program bermula 7 pagi itu nanti.

“Menu untuk berbuka puasa akan disediakan penduduk secara bergotong-royong dan antara menu disediakan adalah kari daging gulai kawah, sup tulang, sayur umbut kelapa sawit dan ulaman.

“Penduduk akan bergotong royong menyembelih seekor lembu untuk dimasak dan program ini dijangka selesai selepas solat Maghrib sebelum solat Terawih diadakan di Masjid Kampung Balun,” katanya.

Husain berkata, program TKHM di Kampung Balun ini mensasarkan kehadiran seramai 500 orang terdiri daripada penduduk, penerima bantuan dan sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 10:45 PM