GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


TIDAK cukup ditumbuk di muka dan kepala, seorang ibu turut dicekik dan dihentak kepalanya dengan batu bata oleh anak perempuannya dalam kejadian di Manir, Kuala Terengganu, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah malam ketika wanita berusia 56 tahun berada di rumah sebelum anak perempuannya itu tiba-tiba mengamuk.

Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 30-an yang juga ibu kepada dua anak lelaki tiba-tiba mengamuk sebelum menyerang mangsa.

“Bimbang wanitai itu bertindak lebih agresif, mangsa segera keluar dari rumah bagi menyelamatkan dirinya.

“Susulan kejadian itu, mangsa yang menanggung kesakitan di muka, kepala dan leher membuat laporan di Balai Polis Manir untuk tindakan lanjut.

“Mangsa mendakwa kerap dipukul anaknya itu menggunakan kayu, besi atau apa saja barang yang ada berhampirannya sebelum ini selain mendakwa dua cucunya turut dipukul suspek,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu Roszita Md Saad membenarkan wanita terbabit direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadapnya kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 4:10 PM