ROHANA (kanan) bersama Putri Halyly Husna menguruskan Mohd Azlee yang terlantar akibat kemalangan langgar lari.
Nor Farhani Che Ad


“SEJAK keluar hospital, suami hanya terlantar di katil selain terpaksa minum susu menggunakan tiub makanan,” kata Rohana Ismail, 39.

Suaminya Mohd Azlee Kassim, 40, hilang keupayaan bekerja selepas berlaku pendarahan otak selain patah tulang rusuk dan tulang bahu, akibat terbabit dalam kemalangan di Jalan Lencongan Barat, Sungai Layar, 28 Mac lalu.

Kejadian itu mengakibatkan keluarga terbabit hilang tempat bergantung apatah lagi keadaan Mohd Azlee yang terpaksa mengharapkan bantuan isteri dan anak-anak kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Rohana berkata, dia yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di universiti berdekatan terpaksa bercuti seketika bagi memberi sepenuh perhatian kepada suaminya.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi apabila motosikal dinaiki suami yang dalam perjalanan pulang ke rumah dilanggar motosikal lain.

“Ketika dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, doktor memberitahu suami dalam keadaan kritikal. Berdasarkan imbasan sinaran-x, terdapat pendarahan di dalam otaknya, oleh itu pembedahan perlu dilakukan,” katanya.

Menurutnya, semua simpanan mereka sudah habis digunakan untuk memenuhi keperluan suaminya termasuk lampin pakai buang, selain menyara lima anak mereka yang berusia dua hingga 19 tahun.

“Susu khas di dalam tin bersaiz kecil berharga kira-kira RM40 hanya mampu bertahan dua hari kerana ia perlu diberikan kepadanya enam kali sehari,” katanya.

Dia berkata, anak sulung mereka Putri Halyly Husna juga ada menyuarakan hasrat untuk bekerja supaya dapat membantu keluarga, sementara menunggu panggilan ke universiti September ini.

“Namun saya tidak membenarkan dia bekerja memandangkan saya mempunyai dua anak kembar lelaki berusia dua tahun lapan bulan yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Difahamkan, keluarga ini yang tinggal di Taman Lembah Bujang, Merbok bakal menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi bantuan penjagaan pesakit kronik atau terlantar sebanyak RM350 sebulan bermula Jun depan.

Bagi mereka yang ingin turut membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Mohd Azlee bernombor 05060165266524.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:30 AM