PENDUDUK memeriksa kerosakan pada bumbung rumah. FOTO Joshua Eric.


“BUNYI deruan ribut yang cukup kuat itu amat menakutkan,” kata Lampon Nuli, 64, penduduk Kampung Selantik Ili, di Pantu, Sri Aman ketika menceritakan kejadian ribut melanda penempatan itu, 4 petang semalam.

Lampon Nuli berkata, lebih mencemaskan tiupan angin kencang berulang sebanyak dua kali, sekali gus menyebabkan kerosakan besar berlaku di kampung itu dan kawasan sekitar.

Katanya, akibat kejadian bekalan elektrik ke kawasan terbabit turut terputus dan hanya pulih pada 7.15 malam.

“Ribut kali kedua menerbangkan bumbung rumah penduduk dan menumbangkan pokok, tapi mujur tidak ada ahli keluarga saya yang cedera,” katanya.

Selain Kampung Selantik Ili, beberapa lokasi lain turut terjejas akibat ribut adalah persimpangan ke pekan Pantu.

Beberapa pokok besar tumbang hingga menghalang lalu lintas dan kemudahan seperti pondok hentian bas turut rosak akibat bumbung diterbangkan angin.

Penduduk kemudian bergotong-royong mengalihkan dan membersihkan pokok tumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 3:05 PM