Keadaan kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di KM47 Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kluang. Foto Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim


PENUNGGANG motosikal maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kluang pada 6.25 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, G Krishna Morty, 36, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal SYM125 seorang diri dari Batu Pahat ke bandar Kluang.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba memasuki simpang di sebelah kanan sebelum dirempuh Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 28 tahun yang datang dari arah bertentangan.

“Tindakan mangsa yang cuba memasuki simpang secara melulu menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum melanggarnya.

“Mangsa dikatakan tercampak ke atas jalan raya dan nyaris dilanggar sebuah Perodua Myvi lain, mujurlah pemandunya yang berusia 58 tahun sempat mengelak sebelum keretanya terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat, manakala kedua-dua pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Abduh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:56 PM