MAYAT lelaki ditemui di dalam longkang berhampiran stesen minyak di Jalan Bunga Melor 5, Taman Muda, Ampang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT lelaki ditemui di dalam longkang berhampiran stesen minyak di Jalan Bunga Melor 5, Taman Muda, Ampang, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada 12.48 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta berpakaian lengkap di dalam longkang berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pemeriksaan dilakukan pasukan forensik mendapati tiada kecederaan pada tubuh badan mayat itu dan ia dalam keadaan mula mereput.

Beliau berkata, pihaknya meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bagi mengangkat mayat berkenaan dari dalam longkang.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Tunku Muhriz untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan 9 pagi esok.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:28 PM