GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib


PESARA kerajaan kerugian RM161,000 selepas diugut sindiket Macau Scam yang mahu menangkap dan mengurung mangsa di bilik gelap selama 45 hari tanpa makan minum, selepas didakwa terbabit dengan kes dadah.

Kejadian bermula 21 April lalu apabila wanita berusia 60 tahun dan tinggal di Beserah, Kuantan menerima panggilan daripada penjenayah yang mendakwa bertugas dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dengan sindiket dadah dan dikehendaki membayar RM20,000 sebagai cukai pendapatan.

“Namun mangsa menafikan dakwaan itu sebelum suspek mengarahkan mangsa menekan nombor satu bagi mendapatkan maklumat lanjut dan talian itu kemudiannya disambungkan kepada pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu, Sabah.

“Suspek yang menyamar sebagai ‘Sarjan Zul Hamizul Abas’ memaklumkan kepada mangsa bahawa kes itu sangat berat dan memindahkan panggilan kepada pegawai dikenali sebagai ‘Inspektor Kumar Singh’ bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, ‘Inspektor Kumar Singh’ kemudiannya menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa mangsa boleh ditahan dan ditempatkan dalam bilik gelap selama 45 hari tanpa makan dan minum.

Katanya, mangsa yang ketakutan selepas mendengar ugutan itu membuat tujuh kali pindahan wang ke lima akaun berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM161,000, seperti diarahkan suspek.

“Mangsa hanya menyedari tertipu selepas selesai membuat pemindahan wang itu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 12:19 PM