SITI Nur Aisyah (kiri) membaca al-Quran pada Program Tadarus al-Quran di Pejabat PERKIM Bahagian Kelantan.
Hazira Ahmad Zaidi


KOTA BHARU: Kagum dan tenang selepas mendengar rakannya mengalunkan ayat suci al-Quran setiap kali solat membuka hati wanita ini untuk lebih mengenali Islam.

Siti Nur Aisyah Tan Abdullah, 40, berkata, sejak remaja dia kerap mendengar rakannya yang berbangsa Melayu mengaji atau melihat mereka solat ketika ke rumah mereka.

Katanya, daripada situ terbit rasa ingin mendalami Islam dan rakannya yang menyedari hal itu mula mempelawa dia membaca ayat suci serta memahami tafsiran surah dalam al-Quran.

“Saya belajar sedikit demi sedikit dan setiap kali mengaji, rasa tenang dan jiwa tenteram. Sehinggalah Allah membuka hati saya untuk melafazkan kalimah syahadah secara rasmi pada 2008,” katanya ketika ditemui di Program Tadarus al-Quran di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Kelantan, semalam.

Siti Nur Aisyah atau nama asalnya, Tan Sew Tian Eh Dek berkata, dia ke Perkim secara senyap tanpa pengetahuan keluarga dan kenalan apabila tekad untuk memeluk Islam.

“Ketika berada di sana, saya berjumpa dengan seorang ustaz dan dia membawa saya ke pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

“Alhamdulillah, sebaik melafazkan kalimah itu, hati, perasaan dan jiwa saya berasa tenang dan sejak itu bertekad untuk menjadi Muslim yang sejati,” katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu mengakui menyembunyikan hal itu daripada pengetahuan keluarga kerana bimbang mereka tidak boleh menerimanya.

“Namun selepas beberapa tahun, mereka mengetahui perkara itu daripada rakan saya dan sukar menerimanya. Ia mengambil masa lama sebelum mereka akhirnya pasrah,” katanya.

Menurutnya, selepas setahun memeluk Islam, dia bertemu jodoh dengan Luthfurrahman Hashim, 39, dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Danish yang berusia lapan tahun.

Sementara itu, Pegawai Dakwah Dan Kerja Perkim Bahagian Kelantan, Wan Zubaidah Wan Yusoff, berkata, program Tadarus Al-Quran yang diadakan empat hari seminggu sepanjang Ramadan disertai antara 60 hingga 65 mualaf termasuk dari Laos, Kemboja dan Myanmar.

“Alhamdulillah, kebanyakan mualaf yang mendapat bimbingan di sini, ada antara mereka sudah boleh mengaji dan membaca al-Quran dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:30 AM