CHE Anisah Md Saad, 43, menunjukkan kesan parut pada kepala Muhammad Azwar selepas melakukan pembedahan membuang cecair. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahma


“KELMARIN saya pedih perut semasa puasa tapi saya berdoa semoga Allah SWT hilangkan sakit perut saya dan Alhamdulillah saya dapat bertahan sehinggalah waktu berbuka,” kata Muhammad Azwar Mohd Ariff.

Azwar, 12, yang menghidap ketumbuhan di kepala sebelum ini, berasa semakin pulih selepas menjalani pembedahan serta rawatan kimoterapi dan radioterapi.

Katanya, dia tidak mahu meninggalkan ibadah itu walaupun keadaannya tidak seperti kanak-kanak lain.

“Sejak berusia enam tahun saya tidak pernah meninggalkan puasa bulan Ramadan dan tahun ini saya yakin dapat berpuasa penuh.

“Ibu selalu pesan, saya perlu ingat Allah selalu kerana Dialah yang memberi saya sakit dan Dialah juga penyembuh,” katanya yang juga Johan Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Kedah.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sik ini bagaimanapun tetap berharap dapat kembali melihat dengan jelas dan membaca al-Quran seperti biasa.

Katanya dia sangat rindu untuk melihat ayat suci kitab itu selepas penglihatannya itu menjadi kabur sejak Oktober tahun lalu.

“Saya rindu nak tengok ayat al-Quran, rindu nak tatap wajah ibu dan ayah dan saya mahu solat sunat Tarawih.

“Malah jika ada rezeki, saya mahu menunaikan umrah kerana saya sering bermimpi melihat Kaabah,” katanya yang turut menyimpan cita-cita menjadi guru al-Quran.

Sementara itu, ibunya Che Anisah Md Saad, 43, berkata, sebagai ibu dia tidak memaksa anaknya itu berpuasa, namun Azwar seorang yang kuat semangat.

Malah, katanya selepas menjalani rawatan kimoterapi atau radioterapi Azwar masih boleh senyum dan badannya tidak merasa panas seperti pesakit lain.

“Saya cuma bimbang berat badannya susut, pada bulan Jun ini dia sekali lagi akan lakukan radioterapi. Saya berharap orang ramai terus berdoa supaya Azwar kembali sembuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pondok Tok Guru Haji Salleh, di Sik.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Azwar disahkan menghidap ketumbuhan di kepala yang menyekat pengaliran air ke tulang belakang.

Malah, doktor sudah melakukan pembedahan untuk menebuk bahagian itu bagi mengeluarkan air pada Oktober tahun lalu.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah lalu, Azwar yang hadir berkerusi roda menjadi antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Berita berkaitan

Dulu johan Tilawah al-Quran, kini...

'Allah SWT sayangkan Azwar'

Azwar semangat nak ke sekolah

'Terima kasih doakan kesembuhan Azwar' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:32 AM