Mohd Hilmie Hussin


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini menyampaikan bantuan daripada Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 kepada Maznah Othman, 60, yang menjaga dua anak saudaranya selepas ditinggalkan ibu dan kematian bapa mereka.

Kunjungan JKM itu diketuai Timbalan Pengarah JKM Melaka Ismail Baharom ke rumah Maznah di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah turut membawa perkhabaran gembira buat Maznah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Teh serta dua anak saudaranya Nurul Fatihah dan Ammar Izzat Abdul Rahim masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun.

Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik dalam kenyataannya berkata, jabatan terbabit sudah memproses permohonan bantuan daripada Maznah dan ia baru saja diluluskan.

“Kita sudah meluluskan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM100 bagi setiap kanak-kanak terbabit yang akan mula dimasukkan ke akaun bank milik Maznah pada Jun depan.

“Kita cuba memprosesnya secepat mungkin namun tidak sempat untuk bantuan Mei. Kita juga memberi wang RM300 kepada Puan Maznah iaitu daripada TBS,” katanya yang diwakili Ismail.

Dalam kunjungan itu juga, Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM Alor Gajah, Ana Shafina Abd Halim dan Kaunselor Wan Nur Ain Alee turut hadir untuk membuat siasatan lanjut.

Burhanuddin berkata, kehadiran dua pegawai terbabit bertujuan membantu Maznah mendapatkan hak penjagaan sementara, selain menjalankan siasatan dan akhirnya membantu mendapatkan hak penjagaan kekal.

“Semuanya perlu melalui proses dan kita akan bantu Maznah. Kami akan bantu dapatkan hak penjagaan sementara, selain membuat hebahan mencari ibu kandung dua kanak-kanak ini.

Ana Shafina (kanan) dan Wan Nur Ain beramah mesra dengan Ammar Izzat serta Nurul Fatihah yang ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah. Foto Khairunisah Lokman

“Jika mendapat kerjasama ibu kandung mereka, saya pasti urusan ini lebih mudah diuruskan tetapi jika gagal mendapatkan ibu kandung mereka, pihak mahkamah akan memutuskan hak penjagaan sepenuhnya sama ada boleh diserah kepada Maznah atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, JKM sentiasa mengalu-alukan keluarga kanak-kanak memegang hak jagaan dan pihaknya hanya akan mengambil hak jagaan sebagai jalan terakhir.

Hari ini, Harian Metro melaporkan masa depan dua kanak-kanak itu terancam berikutan ibu saudaranya berdepan masalah untuk membuka buku akaun simpanan kerana tidak mendapat hak jagaan sepenuhnya.

Malah, dua kanak-kanak terbabit juga diabaikan ibu kandungnya yang masih hidup dan tidak pernah dijaga sejak berusia tiga dan empat tahun lagi.

Sementara itu, Maznah berkata, kehadiran pegawai JKM hari ini, mengurangkan tekanan dan menghadirkan gembira buat dia sekeluarga.

“Saya tidak kisahkan bantuan kewangan, memang saya miskin tetapi saya lebih risaukan masa depan anak-anak ini.

“Selepas mendengar penjelasan tadi, ada jalan penyelesaiannya dan saya gembira sangat, anak-anak juga gembira, cuma saya berharap ada bantuan untuk saya menambah satu lagi bilik untuk Nurul Fatihah,” katanya.

Berita berkaitan

'Ayah, saya dapat nombor satu'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:06 PM