Nora (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Haziq (berkerusi roda) ketika ditemui di HRPZ, Kota Bharu, hari ini. Foto Ihsan PERKESO Kelantan
Hazira Ahmad Zaidi


DUA beradik yatim piatu yang selamat dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Raub, Pahang pada 4 Mei lalu menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), hari ini.

Nur Fathiyah Nasrul Fakhri 8, dan Muhammad Haziq, 10, menerima pencen penakat sebanyak RM789.10 sebulan sehingga kedua-duanya berusia 21 tahun.

Pengarah PERKESO Kelantan Nora Yaacob berkata, pihaknya berharap bantuan itu sedikit-sebanyak dapat membantu meringankan beban ditanggung dua beradik itu yang masih bersekolah.

“Bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, kami mengambil mereka sebagai anak angkat PERKESO Kelantan yang pertama.

“Kami akan menjaga kebajikan mereka termasuk persekolahan seperti tuisyen dan juga kelas motivasi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian itu, ayah kepada dua beradik itu, Nasrul Fakhri Mansor, 38, yang memandu Perodua Kancil dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Myvi.

Kejadian itu menyebabkan Nasrul bersama isterinya, Hartini Mokhtar, 37, serta dua anak mereka, Nur Faqhiah, 4, dan Nur Fateen Sufi, 1 maut.

Terdahulu, Nora melawat Muhammad Haziq yang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) serta menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 kepada waris kanak-kanak itu, Zaimah Jusoh.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tolong jaga anak saya

Lima maut dua kereta Perodua bertembung

[UPDATE] Hasrat sambut Ramadan bersama tak kesampaian

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:26 PM