Adnan (kanan) bersama pegawai penguart kuasa melakukan pemantauan bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Foto Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris


KEDAI makan atau restoran yang menjual colek pada harga yang tidak munasabah sepanjang Ramadan tidak terkecuali dari pemerhatian pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan dari pelanggan mengenai harga yang dikenakan melampau.

“Kita akan membuat pemantauan terhadap kedai makan yang menjual colek sepanjang bulan puasa ini kerana tidak mahu peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga melampau.

“Pelanggan boleh salurkan maklumat terperinci mengenai kedai mana atau lokasinya supaya memudahkan pihak kami membuat pemantauan,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Adnan berkata, penjualan colek yang sinonim dengan kemeriahan pada Ramadan di negeri itu juga perlu diletakkan tanda harga sama seperti makanan lain.

Menurutnya, jika bahan colek itu perlu ditimbang, peniaga hendaklah menggunakan alat timbang sukat yang disahkan dan tidak rosak.

“Setakat ini, kami belum lagi menerima sebarang aduan atau rungutan berkenaan kenaikan harga colek, namun kita mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai bagi mengelakkan mereka dikenakan harga melampau oleh peniaga,” katanya.

Terdahulu, Adnan melakukan tinjauan di bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV bagi menangani isu harga barang sempena Ramadan.

Menurutnya, seramai 125 pegawai penguat kuasa dan 94 pegawai pemantau harga ditempatkan di bazar Ramadan di seluruh Kelantan.

Katanya, sebanyak 487 pemeriksaan sudah dibuat sepanjang tempoh dua hari Ramadan dan sehingga ini belum menerima sebarang aduan berhubung kesalahan yang dilakukan peniaga.

“Sebanyak 31 amaran dan nasihat dikeluarkan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan berhubung tanda harga.

“Sekiranya kesalahan masih dibuat atau peniaga ingkar, mereka akan diambil tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 9:08 PM