AMER (dua dari kanan) dan Zulkarnain (dua dari kiri) menunjukkan hadiah kemenangannya pada Pertandingan Robotik Antarabangsa Kahramanmaras Teknokent di Turki.
Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kelahiran ke-15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, Amer Khawarizmi Zulkarnain lebih bermakna selepas dia muncul juara dalam Pertandingan Robotik Antarabangsa Kahramanmaras Teknokent di Turki pada 5 Mei lalu.

Amer yang mempertaruhkan dua robot ciptaannya iaitu Autonomous 3KG Standard All Japan Robot Sumo dan Autonomous 500 gram Minisumo meraih kemenangan itu selepas menewaskan tuan rumah selaku pesaing terdekat dan wakil Mexico yang sekadar berpuas hati di tempat ketiga di pusingan akhir.

Kemenangan itu melayakkan Amer membawa pulang piala dan wang tunai 5,000 lira bersamaan RM3,372.

Menurut Amer, dia bersyukur dapat mengharumkan nama negara dalam pertandingan itu dan tidak sangka dapat menewaskan pasukan lain yang berada dalam kelompok terbaik dunia.

“Saya membuat persediaan selama sebulan untuk menyertai pertandingan ini dan menunda tarikh peperiksaan pertengahan tahun yang sepatutnya diduduki semalam serta kelmarin.

“Usaha itu berbaloi selepas meraih kemenangan ini dan terima kasih kepada ayah (Zulkarnain A Nawani, 40) kerana sentiasa membantu saya membuat persiapan dari awal hingga ketika pertandingan berlangsung dengan menjadi pembantu pengendali robot selain mengeluarkan wang poketnya sendiri untuk menemani saya ke pertandingan berkenaan.

“Tidak lupa juga untuk ummi (Suzana Adenan, 39) dan adik yang memberi sokongan walaupun tidak dapat turut serta ke Turki.


SUASANA ketika Amer diumumkan juara, seterusnya mengharumkan nama Malaysia.

“Kemenangan ini adalah kejayaan kami bersama serta hadiah hari jadi terbaik untuk saya. Syukur, Alhamdulillah,” katanya menerusi kiriman Whatsapp kepada Harian Metro.

Berkongsi lanjut mengenai perancangannya, Amer berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), selain membuat persiapan untuk Kejohanan Antarabangsa Robot Sumo Penang pada Julai nanti.

Wang kemenangan diperoleh dalam pertandingan itu akan digunakan untuk mencipta robot baru bagi projek seterusnya.

“Kejayaan dalam pertandingan itu adalah pembakar semangat untuk saya berusaha lebih keras bagi mencipta kemenangan buat negara dalam bidang robotik.

“Namun pada masa sama, saya enggan mengabaikan pelajaran kerana mahu turut cemerlang dalam PT3 yang dijadualkan bermula pada Ogos depan,” katanya.

Amer yang mendapat tajaan penerbangan daripada syarikat Sumozade Robotics berlepas ke Turki bersama bapanya, Zulkarnain pada 1 Mei lalu dan selamat pulang ke tanah air kira-kira jam 3.50 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 8:00 AM