X
FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


TIGA kilang yang disyaki beroperasi secara haram di Tampin diarah menghentikan operasi dalam pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kerajaan negeri membuat pemutihan ke atas kilang haram dan pemeriksaan dilakukan selepas menerima maklumat serta risikan.

“Kita memberikan notis pemberhentian sebuah kilang yang disyaki beroperasi secara haram. Kilang itu sudah menghentikan operasi kira-kira 10 bulan lalu.

“Ketika tindakan lanjut menyusul ke atas kilang lain, maklumat kita dibocorkan oleh pihak tertentu menyebabkan pemeriksaan tidak dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Veerapan berkata, semalam JAS meneruskan semula operasi di sebuah kilang besi yang dalam pembinaan di Kampung Sungai Dua, Gemas.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kilang itu tiada lesen dan pembinaannya tidak mendapat kelulusan pihak berkaitan menyebabkan notis pemberhentian serta-merta dikeluarkan.

“Seterusnya, JAS memeriksa pula kilang membakar tayar di Kampung Gelugor Tenai, Gemas, kerana didirikan di atas tanah milik kerajaan.

“Pengilang terbabit dipanggil membantu siasatan tetapi gagal hadir menyebabkan notis pemberhentian operasi turut dikeluarkan,” katanya.

Katanya, semua kilang berkenaan disiasat mengikut Seksyen 38(1)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 9:31 AM
Digital NSTP Subscribe