ANGGOTA Bomba memadankan kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
Hadzlihady Hassan


“KETIKA sedang hisap rokok tiba-tiba saya terdengar letupan daripada gas memasak kemudian saya nampak api.

“Saya terus mengejutkan rakan-rakan dan tidak lama selepas itu api mula marak,” kata Mohd Firdaus Yassir, 20, menceritakan detik cemas kebakaran rumah kedai dua tingkat didiaminya di Jalan Kuala Kangsar, Prangin Estate, Georgetown, 2.30 pagi tadi.

Pekerja restoran nasi kandar itu berkata, mujur mereka semua sempat melarikan diri lebih awal dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya rasa kemungkinan berlaku kebocoran gas, kemudian disambar api hingga tingkat atas kedai terbakar,” katanya.

Kebakaran menyebabkan tujuh rumah kedai dua tingkat sederet musnah namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyemat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba 1, Muhammad Tarmizi Md Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.33 pagi.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Jalan Perak dan Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian.

“Tujuh unit bahagian atas rumah kedai terbabit hangus keseluruhannya kerana api merebak dengan pantas.

“Ketika kejadian ada lima penghuni iaitu dua lelaki tempatan dan tiga warga Bangladesh,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri menggunakan tangga dan saluran paip di belakang premis.

“Hasil siasatan awal, ada saksi memberitahu yang kebakaran itu disebabkan kebocoran gas memasak di rumah terbabit.

“Namun kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Semua tujuh unit rumah kedai terbabit dikategorikan sebagai Bangunan Warisan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:28 PM