Palanisamy (baju putih) menukar dokumen perjanjian dengan Zulkifli (bersongkok) di Bangunan Canselori USIM, Nilai. Foto Hasriyasyah Sabudin
Palanisamy (baju putih) menukar dokumen perjanjian dengan Zulkifli (bersongkok) di Bangunan Canselori USIM, Nilai. Foto Hasriyasyah Sabudin
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KURANG kesedaran mengenai kepentingan memiliki perlindungan takaful dalam kalangan penjawat awam menyebabkan hanya kira-kira 300,000 atau 20 peratus daripada 1.7 juta penjawat awam di negara ini memiliki perlindungan itu.

Melihatkan peratusan yang masih rendah itu, MyCuepacsCare dan Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU).

Presiden GAKUM Zulkifli Mohamad berkata, MoU itu bertujuan untuk melaksanakan program pendidikan dan kesedaran kepada kakitangan awam mengenai kepentingan memiliki perlindungan takaful.

Menurutnya, ketika ini terdapat seramai 300,000 ahli GAKUM dan lebih 500,000 kakitangan awam di 20 universiti awam (UA) seluruh negara.

“Dengan adanya MoU ini, kita mensasarkan untuk memastikan semua ahli GAKUM dan kakitangan awam di UA mempunyai takaful,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani MoU antara MyCuepacsCare dengan GAKUM di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, hari ini.

MoU itu ditandatangani Zulkifli yang mewakili GAKUM, manakala MyCuepacsCare diwakili Pengarah Urusan, K Palanisamy.

MyCuepacsCare dilantik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebagai pengendali program takaful khas untuk kakitangan awam dalam mempromosikan takaful menerusi taklimat di 20 UA, manakala GAKUM akan membantu mendapatkan kelulusan taklimat daripada pihak universiti.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, usaha MyCuepacsCare untuk memberi penerangan kepada kakitangan awam di UA menjadi lebih mudah sekali gus membuka mata mereka untuk mempunyai perlindungan itu.

“Saya juga akan membawa cadangan supaya majikan dapat membantu kakitangan mereka dari segi kebajikan dengan membantu membayarkan pelan takaful yang diambil kakitangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Palanisamy berkata, MyCuepacsCare menawarkan perlindungan takaful khas kepada kakitangan awam iaitu Takaful Penghospitalan dan Pembedahan CuepacsCare dan Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA dengan bayaran serendah RM85 bagi satu keluarga dengan perlindungan sehingga RM60,000 setahun.

Menurutnya, perlindungan takaful yang ditawarkan itu diwujudkan sejak 1999 dan setiap tiga sehingga lima tahun akan diselaraskan mengikut keperluan semasa.

“Kita sentiasa berusaha menawarkan perlindungan serendah yang mungkin bagi memastikan kakitangan awam mampu membayar caruman setiap bulan.

“Kita mensasarkan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan awam di negara ini mempunyai perlindungan takaful menjelang penghujung 2020,” katanya.

Menurut Palanisamy, kajian oleh MyCuepacsCare mendapati kesedaran kakitangan awam untuk memiliki takaful meningkat setiap tahun tetapi oleh kerana caruman bulanan yang terlalu tinggi ramai yang tidak berkemampuan.

Oleh itu, katanya, dengan adanya MoU itu pihaknya mempunyai seramai 600 ejen yang diharap mampu memberikan penerangan jelas mengenai kepentingan untuk memiliki perlindungan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 8:41 PM