PENGARANG Eksekutif Komersil Harian Metro merangkap Pengerusi Titipan Kasih, Husain Jahit (tengah) bergambar bersama penduduk kampung di Surau Tinggi Kampung Balun, Slim River. FOTO Abdullah Yusof
Rosman Shamsudin


PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama PLUS di Kampung Balun di Slim River, Sabtu ini menjadi titik tolak permulaan penduduk menghidupkan kembali aktiviti gotong royong atau dikenali ‘rewang’ dalam kalangan masyarakat kampung pada zaman dahulu.

Kalau di utara semenanjung , rewang membawa maksud bergerak atau meronda dengan tanpa arah tujuan dan sebab, tetapi ia membawa maksud berbeza di negeri ini.

Rewang lebih menjurus kepada aktiviti yang dilakukan bersama-sama dalam bentuk kumpulan agak besar secara bergotong royong untuk menguruskan sesuatu majlis atau kenduri.

Amalan rewang sememangnya terkenal dalam masyarakat kampung khususnya di Kampung Balun ini dahulu, tetapi sejak akhir-akhir ini dan akibat perubahan zaman maka amalan diamalkan masyarakat terdahulu semakin dilupakan generasi muda hari ini.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mohd Nawawi Hussin, 55, berkata TKHM memberi peluang kepada MPKK dan organisasi pentadbiran kampung yang lain bergabung tenaga dan idea secara muafakat dengan mengadakan aktiviti rewang untuk persiapan serta ketika mengendalikan majlis berkenaan.

Katanya, amalan atau aktiviti rewang memang semakin dilupakan dan bukan hanya berlaku di kampung ini sahaja tetapi di seluruh negara disebabkan tuntutan gaya hidup masa kini dan tiada usaha dilakukan untuk menghidupkan kembali akhirnya ia semakin dilupakan.

“Orang zaman dahulu apa jua aktiviti keramaian atau kenduri dijalankan secara rewang bermula dari persiapan, semasa dan selepas majlis yang dilakukan secara bergotong royong melalui sumbangan idea, tenaga serta kepakaran dalam bidang masing-masing menyebabkan hubungan atau perpaduan penduduk amat kuat.

“Apabila kampung ini terpilih untuk program THKM bersama PLUS maka kami sepakat untuk menjalankan aktiviti ini secara rewang memandangkan amalan ini semakin hari semakin dilupakan, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Inilah masanya untuk menghidupkan kembali amalan yang diamalkan orang zaman dahulu yang sememangnya terkenal dengan semangat muafakat dan kerjasama yang cukup kuat, jadi apa salahnya kami golongan lama memperkenalkan kembali amalan ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Surau Tinggi, Slim River, hari ini.

Program Sabtu ini, penduduk akan menjalankan aktiviti rewang, terutama dalam menyiapkan hidangan berbuka puasa kepada kira-kira 600 penduduk yang dijangka hadir.

Seekor lembu ditumbangkan dan dijadikan hidangan utama iaitu kari daging dan sup tulang resipi orang kampung selain menu lain serta pelbagai ulaman yang sudah pasti memeriahkan lagi program julung kali diadakan di kampung tradisi itu.

Mohd Nawawi berkata, aktiviti rewang bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk tetapi juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan ketika mengadakan majlis keraian yang membabitkan ramai jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 8:44 PM