ANTARA individu disyaki penagih ditahan sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Cegah di sekitar Beaufort. FOTO Ihsan AADK
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


TIGA lelaki dipercayai tokan dadah di sekitar Papar, ditahan sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Cegah, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30 tahun antara 12 lelaki disyaki penagih dadah ditahan dalam operasi selama empat jam, bermula 1.30 pagi yang diketuai, Ketua Operasi AADK Negeri, Erwan Roslan.

Ketua Pegawai AADK Beaufort Effanehwati Lakat berkata, lokasi operasi membabitkan tiga kampung dan satu taman perumahan.

“Pasukan AADK Beaufort bersama AADK Negeri menahan seramai 15 lelaki disyaki penagih dan hasil ujian saringan air kencing didapati 12 positif dadah jenis syabu.

“Daripada 12 yang ditahan itu tiga dipercayai tokan dan dua suspek lagi mempunyai rekod waran tangkap,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semua suspek berusia 22 hingga 48 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

“AADK akan terus meningkatkan usaha membanteras dan membasmi permasalahan dadah khususnya di Beaufort.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 8:20 AM