RAMLI hilang dari kediaman anaknya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin


“AYAH hilang pada hari pertama puasa. Sudah puas kami mencari tetapi gagal menemuinya.

“Dia ada masalah kesihatan seperti darah tinggi dan menghidap penyakit Dementia yang menyebabkan dia menjadi mudah lupa.

“Kami bimbang mengenai keselamatannya kerana dia perlu makan ubat setiap hari bagi memastikan keadaan kesihatannya tidak merosot,” kata Rashida Ramli, 56.

Rashida kini sedang mengesan ayahnya, Ramli Ilong, 85, yang sudah lima hari hilang selepas keluar dari kediaman anaknya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Menurut Rashida, kejadian berlaku sewaktu dia bersama keluarga sedang bersiap untuk berbuka puasa di masjid berdekatan kediaman mereka, pada 6.30 petang.

“Ayah begitu bersemangat mahu berbuka di masjid bersama keluarga dan dia bersiap awal dengan memakai baju Melayu warna kuning dan seluar gelap sebelum menunggu kami di luar rumah.

“Bagaimanapun, apabila saya dan keluarga keluar rumah, didapati ayah tiada di sekitar kediaman kami.

“Sudah puas kami mencari di sekitar kawasan perumahan dan bandar berdekatan tetapi gagal menemuinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rashida berkata, susulan kejadian, pihaknya membuat laporan berhubung kehilangan Ramli di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya, pada hari sama.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, ayahnya sebelum ini pernah hilang tetapi berjaya ditemui kembali di sekitar kawasan berdekatan kediaman mereka.

“Sudah lima kali ayah hilang tetapi berjaya ditemui dalam tempoh singkat sahaja. Tapi kali ini paling lama, sudah lima hari dia hilang.

“Kami tidak sampai hati untuk kurung dia di dalam rumah kerana akan membuatkan ayah menjadi marah dan bertindak agresif serta perkara itu tidak bagus untuk kesihatannya.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat dan pernah menemui ayah dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau boleh menghubungi saya menerusi talian 016-3633839,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 12:42 PM