Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Fairuz Zaidan


IBU dan bapa Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin terus mendapat khabar gembira apabila kerajaan Melaka bersetuju membiayai kos pengangkutan dan penerbangan mereka sekeluarga ke United Kingdom (UK).

Khabar gembira itu disampaikan Ketua Menteri, Adly Zahari yang turut melahirkan rasa simpati terhadap penderitaan bayi perempuan yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor itu.

“Secara dasarnya, kita sudah menetapkan bahawa kita akan bantu bagi memudahkan urusan keluarga itu ke luar negara. “Di peringkat kerajaan negeri, kita sudah ambil perhatian dan akan bantu.

“Memandangkan kos pembedahannya agak tinggi (RM1 juta), kita cuba beri bantuan dalam bentuk pembiayaan kos pengangkutan serta penerbangan keluarga itu di UK,” katanya.

Terdahulu, Adly merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2018-2019 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan sekumpulan pakar dari UK sedia melakukan pembedahan Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan isteri Nurul Erwani Zaini, masing-masing, 24, menerima pesanan daripada Pakar Bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri menerusi aplikasi WhatsApp, supaya segera membawa anaknya menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Ahmad Safiuddin dipetik sebagai berkata, sumbangan derma orang ramai akan digunakan sepenuhnya bagi membiayai kos pembedahan bayi perempuannya di UK yang dianggarkan mencecah lebih RM1 juta.

Difahamkan, Ainul Mardhiah, berusia hampir sembilan bulan, akan diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan di sebuah hospital di sana bagi membuang ketumbuhan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ahmad Safiuddin, ketika dihubungi hari ini berkata, dia sekeluarga terharu selepas menerima maklumat daripada Ketua Menteri yang prihatin terhadap nasib menimpa anaknya.

“Saya dan keluarga ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin terhadap nasib anak saya,” katanya.

Mengulas perkembangan keputusan prosedur imbasan MRI yang dibuat ke atas anak kesayangannya kelmarin, Ahmad Safiuddin berkata, dia sekeluarga dijangka menerima keputusannya esok, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat termasuk maklumat daripada pakar bedah di UK.

Sebarang sumbangan kepada Ainul Mardhiah boleh disalurkan ke akaun Maybank, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (554-110-509-928).

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:35 PM