BERNAMA

PENGUNDIAN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula sebaik sahaja 19 pusat mengundi melibatkan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi, hari ini.

Proses mengundi yang berlangsung selama sembilan jam setengah itu melibatkan seramai 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada 5 petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menempatkan seramai 798 petugas di semua pusat pengundian dan menyasarkan 70 peratus pengundi di kawasan Parlimen itu akan keluar mengundi.

Pusat penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan ribut petir di satu dua tempat pada sebelah petang di Sandakan hari ini.

Pada 7 Mei lalu, 75 peratus daripada 270 pengundi awal terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu, dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:17 AM
    GAMBAR hiasan. FOTO fail NSTP