ADLY (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk di Masjid Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
ADLY (kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk di Masjid Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar


MAJLIS Agama Islam Melaka (MAIM) membelanjakan lebih RM5 juta sebagai sumbangan persediaan Ramadan dan fidyah kepada asnaf fakir miskin di seluruh Melaka, tahun ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi MAIM, Adly Zahari berkata, wang berkenaan adalah hasil kutipan Zakat Melaka tahun lalu sebelum disalurkan kepada MAIM untuk disumbangkan kepada asnaf terbabit bagi meringankan beban mereka membuat persediaan sepanjang Ramadan.

“Kerajaan negeri ada memberikan sedikit lagi sumbangan lain sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Masjid Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Seramai 250 asnaf fakir dan miskin menerima sumbangan bahan makanan dan wang tunai sebanyak RM150 seorang pada majlis itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin

Terdahulu, Adly dan kira-kira 1,000 hadirin mengikuti tazkirah Ramadan disampaikan pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek.

Zakat Melaka dilaporkan mengutip zakat RM87.8 juta tahun lalu berbanding RM85.6 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus membolehkan zakat fitrah dan sumbangan persediaan Ramadan serta fidyah di seluruh Melaka tahun ini meningkat.

Sehubungan itu, Adly meminta lebih banyak syarikat swasta, terutama konglomerat melaksanakan CSR pada Ramadan ini bagi membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Beliau juga berkata, pengusaha restoran beragama Islam dan bazar Ramadan harus mematuhi peraturan waktu operasi selepas jam 3 petang bagi menghormati kemuliaan Ramadan dan jika ada pengusaha yang secara jelas melanggarnya, mereka harus dikenakan

tindakan.

“Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) harus lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas pengusaha yang degil kerana kesucian Ramadan harus dipelihara bukan sahaja oleh pelanggan, malah mereka yang menjual makanan dan minuman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 1:03 AM