ANGGOTA PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas. FOTO ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menemui 2,980 bungkus rokok pelbagai jenama disembunyikan dalam plastik hitam dipercayai diseludup dari negara jiran di kawasan tebing laut Batu 5, Tawau Sabah, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali, berkata, sepasukan anggota bot PAC 720 yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan menemui longgokan plastik hitam mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan pada kira-kira 5.30 pagi.

Katanya, selepas diperiksa dilakukan, anggota PPM menemui sebanyak 2,980 bungkus rokok yang disyaki diseludup masuk untuk dipasarkan di daerah ini.

“Semua rokok seludup itu dianggarkan bernilai RM17,220,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan taktik atau kaedah sorok di kawasan semak bagi mengaburi daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

PPM pada minggu lalu turut merampas 4,500 bungkus rokok seludup di kawasan semak berdekatan Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, menggunakan modus operandi yang sama.

Bagaimanapun katanya tiada tangkapan dibuat kerana suspek dipercayai menghidu awal kehadiran pihak berkuasa.

“Rokok terbabit dirampas dan dibawa ke markas operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:26 AM