Hadzlihady Hassan


DUA maut selepas Proton Persona dinaiki terbabas dan merempuh pondok menunggu bas di Gat Lebuh Cecil, Lebuh Maccalum, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, pemandu, Andy Meyrick, 24, dan penumpang, Jusse D Dolisip, 29, meninggal dunia di lokasi akibat tersepit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.31 pagi dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita dapati kereta itu dalam keadaan terbalik selepas merempuh pondok menunggu bas dan pemandu serta penumpang tersepit.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan usaha mengeluarkan mayat mengambil masa lebih sejam,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:41 AM
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba