PENGARAH Urusan PLUS Datuk Azman Ismail (kiri) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein (dua kiri) berbual dengan Mohd Sharif Khalid, 58, (tiga kanan) selepas menyampaikan sumbangan pada Program TKHM di Kampung Balun, Sabtu lalu. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


PENGANJURAN program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Sabtu lalu menjadi sejarah dan kenangan terindah buat penduduk Kampung Balun, Slim River.

Pertama kali diadakan di kampung berkenaan, TKHM memberi manfaat kepada seluruh penduduk terutama golongan yang kurang bernasib baik apabila menerima bantuan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Zainudin Khalid, 45, berkata, pihaknya berterima kasih kepada TKHM kerana memilih kampung berkenaan sekali gus membawa rezeki kepada penduduk.

Menurutnya, program semeriah dan sebesar itu memang sukar untuk dianjurkan MPKK tanpa bantuan pihak penganjur kerana ia memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Sudah dua hari program ini berakhir dan kami semua mula terasa rindu saat-saat membuat persiapan dan ketika program berlangsung kelihatan riuh rendah dalam suasana yang harmoni.

“Saya gembira melihat wajah-wajah penerima bantuan yang tersenyum membuatkan rasa penat menganjurkan program ini terubat.

“TKHM sudah memudahkan dan membantu kami dalam membela golongan yang kurang bernasib baik dan kami bersyukur terpilih serta diberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MPKK Mohd Nawawi Hussin, 55, berkata, dia bersyukur kerana program terbabit berjaya menyatukan penduduk kampung walaupun mempunyai fahaman politik berbeza dan paling penting dapat berkongsi manfaat program dengan kampung yang bersebelahan.

“Saya mewakili seluruh penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada pihak Harian Metro dan PLUS yang menganjurkan program ini untuk membela golongan yang kurang bernasib baik.

“Nama Kampung Balun juga sudah terkenal, saya berharap jika hendak anjurkan lagi tahun-tahun mendatang, Kampung Balun masih tersenarai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:14 PM