Dadah syabu dirampas dari seorang lelaki selepas berlaku pergelutan. Foto ihsan PDRM
Garret Dawum


Taktik seorang bapa kepada tiga anak menyembunyikan dadah di dalam kotak rokok terbongkar apabila dia ditahan di Jalan Temenggong Koh Anak Jubang, Kapit, Sarawak, jam 5.10 petang semalam.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit terpaksa bergelut dengan suspek yang cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, ketika bergelut, suspek berusia 29 tahun itu juga sempat mencampak sesuatu ke tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan mendapati barang dicampak itu adalah kotak rokok yang dibalut dengan surat khabar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak rokok itu mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 51.20 gram bernilai RM25,600,” katanya semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya.

“Ini adalah kali pertama suspek ditangkap polis dan dia mengaku menghisap dadah sejak tahun lalu kerana ingin mencuba.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif syabu dan amphetamine,” katanya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a), akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:25 PM