ABDUL Hadi (dua dari kiri) menjawab soalan wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Berbuka Puasa bersama media di Ampang, hari ini. FOTO ROSDAN WAHID
ABDUL Hadi (dua dari kiri) menjawab soalan wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Berbuka Puasa bersama media di Ampang, hari ini. FOTO ROSDAN WAHID
Hairulazim Mahmud


“TAK restu, tak betul memang tak restu,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Itu reaksi beliau berikutan kenyataan menantunya, Zaharudin Muhammad kononnya beliau memperoleh restu Abdul Hadi berkaitan isu ‘kartel dedak’.

Abdul Hadi berkata, isu dibangkitkan bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu kini bukan isu lagi.

“Tak berbangkit pun, perkara dah selesai, tak tahu kenapa dia bangkitkan.

“Kalau nak kaitkan dengan pemilihan, itu kena tanya dia nak bertanding atau tak,” katanya semasa sesi dialog PAS bersama media di Ampang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Zaharudin sebelum ini mendakwa pendedahannya berkenaan ‘kartel dedak’ membabitkan pemimpin PAS mendapat restu Abdul Hadi.

Beliau dalam entri Facebooknya semalam menjelaskan tindakannya mendedahkan gerakan ‘kartel’ itu kononnya bertujuan mengelak serangan parti lawan, yang didakwa mempunyai audio penting untuk digunakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Beliau turut menyenaraikan lima ahli kartel dengan kod nama masing-masing iaitu ‘Dr Hussam II (kepala no 1)’, ‘Mr NT’, ‘Mr KT’, ‘Mr KH’ dan individu yang kelima sebagai ‘semua dah tahu’.

Hari ini tular bahawa Dr Hussam II adalah merujuk kepada Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun Zaharudin menafikan perkara itu.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Zaharudin akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib parti berikutan tindakannya itu.

“Jawatankuasa itu menerima satu laporan dan mereka akan menyiasat dan menentukan kedudukan Zaharudin,” katanya.

Mengenai Muktamar Tahunan PAS 2019, beliau berkata, ia akan diadakan di Indera Mahkota, Kuantan pada 21 hingga 23 Jun ini.

Beliau berkata, pemilihan parti Dewan Muslimat akan diadakan pada 15 Jun, Dewan Ulama (20 Jun) dan Dewan Pemuda (19 hingga 20 Jun).

Sementara itu, berkaitan tindakannya menggelar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan, Takiyuddin berkata, sudah ada 10 laporan polis berkaitan itu.

“Saya pasti akan dipanggil polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:05 PM