FATIN Halimah menunjukkan baju Melayu dijualnya di Jalan TAR, Kuala Lumpur yang diturunkan harga berikutan kurang sambutan pada minggu pertama Ramadan.
Mohamad Hussin


“SAMBUTAN pengunjung pada minggu pertama Ramadan agak suram jika nak dibandingkan Ramadan tahun lalu.

“Malah, tahun ini kami terpaksa menurunkan harga baju Melayu kerana kurang mendapat sambutan,” kata Fatin Halimah Badin, 19, penjual baju Melayu di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.

Katanya, sambutan kali ini tidak menggalakkan kerana terdapat lokasi tapak bazar Ramadan di Jalan Raja.

“Sebelum ini, orang ramai hanya bertumpu di kawasan Jalan TAR saja untuk membeli-belah, tetapi kini mereka berbelah bahagi sama ada nak datang sini atau Jalan Raja.

“Tahun lalu, jualan baju Melayu agak memberangsangkan sejak minggu pertama jualan sangat baik.

“Tetapi kali ini, pada minggu pertama Ramadan agak kurang pengunjung mungkin disebabkan belum dapat gaji atau mereka suka membeli-belah di penghujung Ramadan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Fatin Halimah berkata, tahun ini jenama Feedany mengeluarkan dua koleksi baju Melayu iaitu moden ‘smart cutting’ yang mempunyai butang dan tidak mempunyai butang.

Menurutnya, harga ditawarkan amat berpatutan dan mampu dibeli semua peringkat usia.

“Kami menawarkan harga antara RM150 hingga RM165 sepasang selepas potongan harga istimewa.

“Walaupun baru masuk minggu kedua Ramadan, kami sudah menawarkan potongan harga kepada pelanggan,” katanya.

Pekerja tukang gunting Bak Bunus, Amira Lukman berkata, setiap tahun mereka akan mengeluarkan koleksi baju Melayu lelaki dan wanita bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Koleksi baju Melayu semakin diminati ialah moden fit dan klasik manakala bagi wanita kebaya labuh.

“Kami menawarkan potongan harga 10 peratus buat masa ini dan akan membuat promosi sehingga 30 peratus menjelang hari raya nanti.

“Harga ditawarkan di Bak Bunus antara RM150 hingga RM210 sepasang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah tidak menerima sebarang tempahan kecuali pakaian baju Melayu dan kebaya labuh yang sudah siap mengikut pelbagai jenis saiz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:18 PM